Saturday, March 6, 2010

4 Mazhab Utama Umat Islam

Share
Sambungan drpd artikel bertajuk " Fahaman Islam - Mengapa Kita Berbeza?? "


1. Mazhab Syafie


Mazhab Syafie diasaskan oleh Al-Imam Abu Abdullah, Muhammad bin Idris al-Quraisyi al-Hasyimi al-Muttalibi bin al-Abbas bin Othman bin Syafie, (Rahimahullah) bercantum nasabnya dengan Rasulullah SAW pada datuknya Abdul Manaf. Beliau dilahirkan di Ghazzah Palestin pada 150H. Tidak lama selepas kematian ayahnya, ibunya telah membawanya ke Makkah sebelum pulang ke kampun halaman.

Imam Syafie telah menghafaz al-Quran sejak kecil lagi. Beliau pernah tinggal bersama kabilah Hudhail di al-Badiyah. Kabilah ini sememangnya terkenal dengan kefasihannya berbahasa arab. Imam Syafie banyak belajar dan menghafal syair mereka. Beliau merupakan tokoh bahasa dan sastera Arab.
Imam as-Syafie belajar dengan mufti di Mekah iaitu Muslim bin Khalid al-Zinji sehingga beliau mengizinkan Imam Syafie untuk memberikan fatwa. Pada masa itu, umur Imam Syafie adalah sekitar 15 tahun. Selepas itu, beliau pergi ke Madinah dan berguru dengan Imam Malik bin Anas. Beliau menghafal dan mendalami kitab al-Muwatta' dalam masa sembilan malam sahaja. Beliau juga meriwayatkan hadis daripada Sufian bin Unaiyah, Fudayl bin Iyad, bapa saudaranya Muhammad bin Syafie dan ramai lagi.

Imam Syafie telah pergi ke Yaman dan bertugas di sana. Kemudian beliau ke Baghdad sebanyak dua kali iaitu pada tahun 182H dan 195H. Beliau juga telah mempelajari kitab fuqaha' Iraq daripada Muhammad bin Hassan. Pertukaran pendapat yang berlangsung antara beliau dengan Muhammad bin Hassan telah menggembirakan al-Rasyid. Imam Ahmad bin Hanbal kemudian bertemu dengan Imam Syafie di Mekah pada tahun 187H dan di Baghdad pada tahun 195H. Beliau mengajar Imam Ahmad ilmu fiqah dan usul fiqah serta ilmu nasikh dan mansukh al-Quran.

Di Baghdad, Imam Syafie telah mengarang kitab Qadim. Seterusnya beliau berpindah ke Mesir pada tahun 200H. Di sanalah lahirnya Mahzab Syafie. Beliau meninggal dunia di Mesir dalam keadaan syahid kerana ilmu selepas Asar pada hari yang sama. Antara karya beliau ialah al-Risalah. Ia merupakan penulisan pertamanya dalam bidang ilmu usul fiqah dan kitab al-umm di bidang fiqah berdasarkan mahzab jadidnya. Imam As-Syafie adalah seorang mujtahid yang mutlak. Beliau imam dalam bidang fiqah, hadis dan usul. Beliau telah berjaya mencantumkan ilmu fiqah ulama hijaz dengan ulama Iraq. Imam Ahmad pernah menyebut bahawa Imam Syafie adalah orang yang paling alim.

2. Mazhab Hanafi

Mazhab ini diasaskan oleh Imam Abu Hanifah Al-Nu'man bin Thubit bin Zuwata al-Kufi yang berketurunan Parsi. Beliau dilahirkan pada 80H dan meninggal dunia pada 150H. Merupakan generasi tabit al-tabi'en, beliau hidup dalam zaman pemerintahan Bani Umaiyah dan Abassiyah. Ada pendapat mengatakan beliau daripada golongan tabi'en. Imam Abu Hanifah merupakan imam al'ra'yu dan ahli fiqah Iraq. As-Syafie pernah berkata, " Manusia berhajat kepada al-Imam Abu Hanifah di bidang fiqah."

Imam Abu Hanifah pernah menjadi peniaga kain di Kufah. Ilmunya luas. Beliau pernah menuntut ilmu hadis dan fiqah daripada kebanyakkan ulama yang terkenal. Beliau mempelajari ilmu fiqah selama 18 tahun dengan Hammad bin abu Sulaiman yang mendapat pendidikannya daripada Ibrahim al-Nakhaie. Dalam menerima satu-satu hadis, Al-Imam Abu Hanifah sangat berhati-hati. Sepanjang hidupnya, beliau sempat menghasilkan sebuah kitab dalam bidang ilmu kalam iaitu al-Fiqh al-Akbar. Dalam bidang hadis pula, beliau telah menghasilkan al-Musnad.

3. Mazhab Maliki

Pengasas kepada Mazhab Maliki, Imam Malik bin Anas bin Abu Amir al-Asbahi merupakan imam fiqah dan Hadis Darul Hijrah (Madinah) selepas zaman tabi'en. Beliau dilahirkan pada zaman al-Walid bin Abdul Malik dan meninggal dunia di Madinah pada zaman pemerintahan al-Rasyid. Beliau hidup dalam dua zaman iaitu Bani Umaiyah dan Bani Abasiyyah.

Kebanyakkan ilmu yang dituntut beliau diperoleh daripada ulama-ulama Madinah seperti Abdul Rahman bin Hurmuz. Imam Malik menuntut ilmu daripada beliau untuk jangka waktu yang agak lama. Selain itu, Imam Malik turut menerima banyak hadis daripada ramai ulama hadis. Antaranya seperti Ibnu Umar dan Ibnu Syihab al-Zuhri. Rabi'ah bin Badul Rahman merupakan guru beliau dalam bidang fiqah. Imam Malik juga merupakan seorang tokoh dalam bidang hadis dan fiqah. Kitab beliau bertajuk al-Muwatta' merupakan penyumbang besar dalam bidang tersebut. Imam As'Syafie pernah berkata, " Malik adalah guru saya. Saya menuntut ilmu daripadanya. Beliau adalah hujah di antara saya dengan Allah SWT. Tidak ada seorang pun yang berjasa kepada saya daripada Malik. Jika dia menyebut nama ulama, maka Maliklah yang paling bersinar."

4. Mahzab Hanbali

Nama Mazhab Hanbali diambil sempena nama pengasasnya iaitu Imam Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal bin Hilal bin Asad al-Zuhaili al-Shaibani. Beliau lahir dan dibesarkan di Baghdad kemudian meninggal dunia di sana pada bulan Rabiulawal.

Untuk menimba ilmu, beliau telah mengembara ke beberapa buah bandar. Antaranya termasuklah Kufah, Basrah, Mekah, Madinah, Yaman, al-Sham dan al-Jazirah. Ketika berada di Baghdad, Imam Ahmad sempat mempelajari ilmu fiqah daripada Imam Syafie. Akhirnya beliau menjadi seorang mujtahid mustaqil. Beliau menuntut dengan ramai guru. Malah, bilangannya menjangkau lebih 100 orang. Beliau berusaha mengumpul sunnah dan menghafaznya sehinggalah beliau terkenal sebagai Imam al-Muhaddithin pada zamannya.

No comments: